Awak-awak warga Thailand terjatuh dikhuatiri lemas - Utusan Malaysia

Awak-awak warga Thailand terjatuh dikhuatiri lemas

PASUKAN penyelamat meneruskan operasi pencarian nelayan warga asing yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh di jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Kemunting, di Kuantan, Pahang. - FOTO IHSAN JBPM PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seorang nelayan warga asing dikhuatiri lemas dipercayai terjatuh ke sungai berhampiran kilang air batu jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dekat Kemunting, di sini hari ini.

Pegawai Perhubungan Awam, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan maklumat awal mangsa yang berusia 29 tahun merupakan awak-awak bot warga Thailand.

“Mangsa dilaporkan terjatuh kira-kira pukul 9.49 pagi ketika melakukan kerja-kerja pemunggahan hasil laut di kawasan itu.

“Dengan kekuatan anggota seramai 11 orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan berserta dua jentera dan sebuah bot telah ke lokasi kejadian bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat. Pasukan penyelamat mula membuat pencarian di permukaan sungai sekitar kawasan mangsa dilaporkan terjatuh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Zulfadli berkata, operasi pencarian masih diteruskan dengan bantuan agensi lain termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), pasukan polis marin dan unit bermotosikal.

“Sementara itu, usaha pencarian dipergiatkan lagi dengan tambahan dua lagi bot penyelamat daripada agensi penyelamat yang lain,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN