Anggota polis IPD Sepang maut motosikal terlanggar lori rosak - Utusan Malaysia

Anggota polis IPD Sepang maut motosikal terlanggar lori rosak

MANGSA kemalangan maut melibatkan anggota polis IPD Sepang di Jalan Baru Dengkil - Kota Warisan, Sepang, Selangor. - IPD SEPANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang maut apabila motosikal yang ditunggangi terlanggar sebuah lori yang rosak di tepi jalan, malam kelmarin.

Dalam kejadian pukul 8.50 malam di Jalan Baru Dengkil – Kota Warisan itu, mangsa, Mohd. Hazziq Bohari, 35, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, mangsa dari arah Kota Warisan menuju ke arah Dengkil sebelum merempuh lori rosak yang diparkir di tepi jalan.

Beliau berkata, sebaik sahaja rempuhan itu, Mohd. Hazziq yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC tercampak ke atas jalan sebelum sebuah lagi motosikal ditunggangi seorang lelaki gagal mengelak dan merempuh mangsa.

“Mangsa yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 turut mengalami kecederaan di mulut dan hidung sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan,” katanya.

Katanya, ketika kejadian itu, permukaan jalan rata dan kering dan cuaca baik selain tiada lampu jalan di lokasi kejadian.

Wan Kamarul Azran berkata, pemandu lori berusia 53 tahun berasal dari Puchong tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, jenazah Mohd. Hazziq di bawa ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN