SKUDAI: Pengundi muda yang berusia 18 hingga 20 tahun disaran memanfaatkan peluang mengundi buat kali pertama dengan sebaiknya bagi memilih calon daripada parti yang boleh membawa kestabilan politik di Johor.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, setiap undi amat bermakna dalam mengubah masa depan negara dan pengundi muda perlu bijak membuat pilihan.
Seramai 750,000 orang pengundi baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini dan 30 peratus atau 175,000 orang adalah pengundi muda berusia 18 hingga 20 tahun.
“Ini merupakan satu tanggungjawab besar untuk anak muda, satu undi boleh mengubah masa depan negara maka tunaikanlah tanggungjawab dengan keluar mengundi pada 12 Mac ini,” katanya selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak sembilan sebelah anak-anak Borneo Sabah dan Sarawak di sini semalam.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, biarpun kebebasan memilih terletak pada tangan individu namun anak muda perlu memilih parti dan calon yang berwibawa untuk membawa suara mereka dalam membentuk kerajaan yang stabil dan mengutamakan kebajikan rakyat seperti yang dilakukan oleh BN.
Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah berkata, PRN kali ini juga membuka ruang kepada golongan muda untuk tampil sebagai calon termasuklah calon-calon BN dan ia jelas menunjukkan kesungguhan BN membawa anak muda sama-sama mencorakkan dasar negara.
“Saya percaya gabungan intelek anak muda dan pemimpin berpengalaman dalam BN sudah pasti mampu membawa Malaysia ke arah yang lebih baik,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, pada PRN kali ini, manifesto bertemakan ‘Ikhtiar BN’ turut memberi tumpuan kepada keperluan golongan muda dalam aspek pendidikan, kemahiran, pekerjaan, perniagaan dan perumahan yang dilihat mampu menarik sokongan anak muda terhadap BN.
Dalam pada itu, Pengerusi Penyelaras Kejohanan, Jamawi Jaafar berkata, kejohanan bola sepak itu berjaya mengumpulkan 38 pasukan yang disertai kira-kira 450 orang anak-anak muda Sabah dan Sarawak yang menetap di Johor. – UTUSAN