PONTIAN: Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjadi pengundi pertama yang menunaikan tanggungjawab selaku pemilih di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bahagia, Benut, pagi ini.
Beliau yang tiba pada pukul 7.59 pagi terus ke pusat pendaftaran di pekarangan sekolah berkenaan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang bermula hari ini.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian mengambil masa lima minit bagi menyelesaikan tanggungjawab tersebut bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut.
Benut menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad (BN), Datuk Isa Ab. Hamid (PN), Haniff@Ghazali Hosman (PKR) dan Noor Iskandar Ibrahim (Pejuang). – UTUSAN