ALOR SETAR: Kesibukan berkempen sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sama sekali tidak menyebabkan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia lupa menunaikan tanggungjawab membantu rakyat yang terkesan dengan musibah banjir di Pantai Timur.
Pengarah Komunikasinya, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Skuad Sabil serta ahli-ahli Pergerakan Pemuda UMNO bahagian terlibat berada di lapangan bagi membantu operasi menyelamat dan menyampaikan barangan keperluan kepada mangsa terlibat.
“Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki mengarahkan jentera Pemuda UMNO di seluruh bahagian di Terengganu dan Kelantan serta Pemuda UMNO bahagian berdekatan untuk bergerak turun padang membantu mangsa banjir.
“Selain itu, misi tersebut dijangka disertai oleh ramai ahli Pemuda UMNO dari seluruh negara dalam masa terdekat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Syed Mohd. Johan dalam pada itu turut mengucapkan syabas kepada jabatan dan agensi kerajaan pusat yang sentiasa bersiap-siaga dalam menghadapi sebarang kemungkinan dengan pihaknya sentiasa bersedia untuk membantu dan bekerjasama.
“Berikutan cuaca dan perubahan iklim global, musibah banjir di Pantai Timur ini berlaku di luar jangkaan. Ayuh kita warga Malaysia yang prihatin berdoa agar Allah memelihara semuanya dan terhindar kita daripada musibah yang lebih memudaratkan,” katanya. – UTUSAN