KUALA LUMPUR: Sifat perniagaan agensi-agensi pelancongan yang beroperasi secara dalam talian tanpa membuka sebarang pejabat atau premis secara fizikal dalam negara menyukar kerajaan mengambil tindakan perundangan atau penguatkuasaan ke atas mereka.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Nancy Shukri berkata, hal itu walaupun aktiviti agensi-agensi berkenaan termaktub di dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).
Bagaimanapun, ahli Parlimen Batang Sadong itu berkata, berdasarkan akta tersebut, tiada seorang pun boleh menjalankan atau mengendalikan perniagaan pengendalian pelancingan atau agensi pengembaraan melainkan jika ia adalah suatu syarikat dan memegang lesen sah diberikan kerajaan.
Justeru, katanya, kerajaan lebih cenderung mengambil pendekatan menyokong aktiviti yang boleh merangsang industri pelancongan untuk lebih berkembang dan berdaya maju.
“Atas dasar ini, kementerian telah mengadakan libat urus dengan beberapa Online Travel Agency (OTA) yang menawarkan pakej atau perkhidmatan pelancongan di negara ini untuk mematuhi Akta 482 dan berdaftar untuk beroperasi dengan memiliki lesen TOBTAB (Garis Panduan Syarikat Perniagaan Pengendalian
“Hasilnya, terdapat OTA syarikat-syarikat asing telah membuka anak syarikat di negara ini dan dilesenkan oleh kerajaan seperti Klook Travel Technologi Sdn. Bhd., Traveloka Sdn. Bhd. dan BEX Travel Malaysia Sdn. Bhd,” katanya semasa sesi pertanyaan jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Larry Sng Wei Shien (PBM-Julau) meminta kerajaan menjelaskan mengapa agensi-agensi pelancongan seperti Agoda, Trivago, Traveloka dan Booking.com yang beroperasi di negara ini tidak berdaftar dengan kementerian di bawah lesen TOBTAB serta tindakan kerajaan bagi mengawal operasi syarikat luar dalam negara. – UTUSAN










