PETALING JAYA: Seramai 86 pelajar Universiti Meritus menerima ijazah pelbagai bidang dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di ibu negara.
Jumlah itu terdiri daripada bidang perniagaan iaitu tiga penerima ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) dan 22 penerima ijazah Sarjana Muda dalam Perniagaan Maritim.
Selain itu, seramai 17 pelajar melengkapkan diploma latihan juruterbang, 20 kadet HM Aerospace Sdn. Bhd. menerima lesen juruterbang komersial dan 24 pelajar menerima diploma dalam pengurusan hotel di kampus Langkawi.
Canselor Universiti Meritus, Tan Sri Rafidah Aziz hadir merasmikan majlis konvokesyen tersebut.
Pengasas dan pengerusi Universiti Meritus, Tan Sri Dr. Halim Mohammad berkata, majoriti graduan diploma pengurusan hotel akan ditaja sepenuhnya oleh Kumpulan Halim Mazmin sebagai tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi membantu pelajar kurang berkemampuan.
Beliau turut berbangga apabila ramai pelajar Universiti Meritus yang menceburi bidang aeroangkasa.
“Seramai 2,000 pelajar Universiti Meritus telah menamatkan pengajian dan mempunyai lesen juruterbang komersial, dengan 53 daripadanya adalah wanita.
“Ada yang mengendalikan Airbus A380, ada yang mengendalikan Airbus A330 dan ada juga yang kini bersama dengan Singapore Airlines,” katanya dalam majlis.
Beliau juga menzahirkan penghargaan kepada ibu bapa yang menaruh kepercayaan terhadap Universiti Meritus.
“Saya bersyukur dan berterima kasih di atas kepercayaan yang diberikan kepada kami untuk mendidik anak-anak di universiti kami. Terima kasih juga diucapkan kepada Tan Sri Canselor atas teguran membina untuk kami lebih mantap di masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










