KOTA KINABALU: Seramai 39,250 orang calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 315 buah pusat peperiksaan di Sabah bermula hari ini.

Sementara itu, 3,984 orang calon lagi dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekolah menengah agama negeri, sekolah swasta berdaftar dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan calon persendirian.
Kesemua calon itu menduduki ujian bertulis peperiksaan SPM 2021 bermula pada hari ini sehingga 29 Mac.
Seramai 4,650 orang petugas peperiksaan terlibat dalam peperiksaan SPM kali ini, termasuk 3,337 orang pengawas.
Menurut Mistirine, bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19, beliau menasihatkan semua calon peperiksaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
“Malah, kita juga menyediakan bilik khas untuk pengasingan calon yang bergejala.
“Bagi calon yang positif Covid-19 dan tidak dapat hadir ke pusat peperiksaan boleh memohon untuk menduduki peperiksaan mengikut jadual kedua yang dijangka pada April. Namun, tarikhnya belum ditentukan,” katanya semasa melawat calon peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Tuaran hari ini.
Jelas beliau, jumlah calon yang positif dan tidak hadir peperiksaan hanya akan diketahui pada pukul 4 petang setelah senarai e-Kehadiran diterima daripada semua pusat peperiksaan.
Maklumat awal yang diterima, di SMK Tamparuli ini juga terdapat calon yang dikuarantin namun, jumlahnya belum diketahui.
Dalam pada itu, semua Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) turut diarah mengaktifkan Jawatankuasa Keselamatan Peperiksaan Awam daerah masing-masing.
Langkah itu sebagai persediaan susulan keadaan cuaca yang tidak menentu terutamanya keadaan hujan yang kadang-kadang lebat dan berterusan dikhuatiri boleh membawa kepada bencana banjir dan tanah runtuh.
Di samping itu katanya, semua PPD turut mewujudkan bilik gerakan peperiksaan masing-masing untuk menyediakan laporan harian khususnya bagi melapor kehadiran calon pada setiap sesi peperiksaan termasuk calon yang dikuarantin, calon di hospital, calon tahanan dan sebagainya. UTUSAN