SABAK BERNAM: Kelicikan 38 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini pada awal pagi gagal apabila dicekup pihak berkuasa di Parit Baru, Sungai Air Tawar di sini, semalam.
Semua warga asing berusia 19 hingga 57 tahun itu dipercayai baru tiba dari negara jiran dengan menaiki bot.
Kehadiran migran itu bagaimanapun berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 4 Semenyih yang memberkas mereka, kira-kira pukul 4 pagi.
Pegawai Pemerintah Batalion 4, Superintenden Rizal Mohamed berkata, penahanan itu dilakukan menerusi rondaan dan pemantauan pihaknya bersama Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di kawasan berkenaan.
Katanya, kesemua 18 lelaki dan 20 wanita asing itu ditemukan di kawasan ladang kelapa sawit.
“Pemeriksaan mendapati semua individu berkenaan gagal mengemukakan sebarang dokumen perjalanan sah. Mereka menyusup masuk menerusi laluan laut yang tidak diwartakan dengan menaiki bot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Rizal, kesemua tangkapan dibawa ke Balai Polis Sungai Besar untuk tindakan lanjut.
“Kes berkenaan diklasifikasikan mengikut Akta Imigresen 1959/63. Sehubungan itu, kita meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN










