PETALING JAYA: Polis mengesahkan beberapa saksi di Singapura bersetuju untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan kes suami bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Tawfiq Ayman.
Keterangan itu susulan dakwaan Tawfiq menerima dana berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd. Kamarudin Md. Din berkata, keterangan yang akan diambil melibatkan saksi-saksi perbankan di negara berkenaan.
“Sepasukan pegawai penyiasat akan ke negara terbabit pada 29 hingga 31 Mac ini.
“Siasatan di negara terbabit adalah bagi mendapatkan keterangan dan juga dokumen yang diperlukan.
“InsyaAllah dengan dapatnya keterangan dan dokumen kita boleh teruskan dan rujuk semula kertas siasatan ke Timbalan Pendakwa Raya,” katanya pada sidang akhbar di Menara KPJ, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan, terdapat beberapa tambahan keterangan saksi lain tetapi ia bergantung kepada keadaan.
Terdahulu, Tawfiq menerusi firma guaman Tetuan Jagjit, Ariff & Co menjelaskan bahwa beliau tidak pernah menerima sebarang bentuk rasuah daripada sesiapa.
Tawfiq menegaskan tidak mengenali individu bernama Tim Leissner atau Roger Ng jauh sekali bertemu atau berkomunikasi dengan mereka.
Kenyataan itu hadir susulan keterangan diberikan Leissner yang juga bekas pengerusi syarikat perbankan, Goldman Sachs pada perbicaraan terhadap bekas pegawai bawahannya, Roger Ng di Mahkamah Tinggi Brooklyn, New York, baru-baru ini.
Dalam perbicaraan itu, Leissner dilaporkan menyebut kegiatan rasuah membabitkan Tawfiq mengenai projek usaha sama PetroSaudi-1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sebelum ini, SPRM dilapor mendedahkan, sekurang-kurangnya RM65 juta dana berkaitan 1MDB diambil balik dari Singapura yang disimpan syarikat milik Tawfiq.
Siasatan ke atas Tawfiq dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dengan kenyataan suami dan seorang anak Zeti itu dirakam pada April tahun lalu.- UTUSAN