LANGKAWI: Sebanyak 15 buah rumah di penempatan haram Bukit Malut di sini musnah dalam kejadian kebakaran petang tadi.
Ketua Zon Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Fadzlullah Mohd. Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 6.47 petang.
“Tiada mangsa yang cedera dan kebakaran dapat dikawal pada pukul 7.47 petang. Anggaran keluasan dan peratus kebakaran setiap sebuah rumah akan dikemas kini,” katanya di sini hari ini.
Rumah yang terbakar itu terletak di kawasan pinggjr laut.
Fadzlullah memberitahu, setakat ini, jumlah mangsa yang terlibat dalam kebakaran masih belum diketahui.
Katanya, sebanyak tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Langkawi dan BBP Persiaran Putra dikejarkan ke tempat kejadian untuk kerja-kerja memadam kebakaran.
“Seramai 23 pegawai dan anggota bomba digerakkan ke lokasi untuk memadam kebakaran,” jelasnya. – UTUSAN










