PORT DICKSON: Seramai 14 individu termasuk seorang wanita ditangkap dalam serbuan yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson bermula 15 Mac hingga semalam.
Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed berkata, kesemua mereka berusia dalam lingkungan 20 hingga 64 tahun itu ditahan di tiga kawasan iaitu Lukut, Telok Kemang dan Linggi.
“Pada 15 Mac, seramai lima lelaki ditangkap di kawasan sebuah tokong lama di Springhill, Lukut dan polis merampas dadah berbahaya jenis heroin dengan anggaran berat 2.14 gram. Lanjutan tangkapan itu, seorang lelaki berusia 20 tahun ditangkap di kawasan Lukut dan dadah berbahaya jenis heroin seberat 15 gram dirampas.
“Tiga orang lelaki kemudian juga ditangkap pada 16 Mac di kawasan Telok Kemang diikuti pada 17 Mac empat lelaki dan seorang wanita ditahan di kawasan Linggi dan polis turut merampas dadah jenis heroin seberat 5.11 gram dan syabu seberat 0.53 gram,” katanya.
Menurut Aidi Sham, hasil semakan, kesemua suspek mempunyai rekod jenayah dan rekod jenayah dadah lampau dan kesemua tangkapan telah ditahan di lokap IPD Port Dickson. – UTUSAN