JOHOR BAHRU: Pengundi tidak perlu risau untuk keluar menunaikan tanggungjawab esok kerana keselamatan mereka dijamin Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, hampir 11,000 pegawai dan anggota polis digerakkan untuk memantau kesemua 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Johor.
Katanya, persediaan PDRM sentiasa berada pada tahap siap siaga bagi memastikan segala proses bermula hari penamaan calon, kempen dan hari mengundi sebenar berjalan lancar.
“Pasukan Cantas Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) turut digerakkan bagi memastikan anasir-anasir yang boleh menyebabkan kacau ganggu terhadap proses PRN ini dikekang.
“Kita akan ambil tindakan tegas jika berlaku tetapi pada masa sama PDRM berharap tiada perkara-perkara yang tidak diingini terjadi Sabtu ini (esok). Oleh itu, pengundi boleh keluar beramai-ramai tanpa ragu-ragu pada hari berkenaan,” katanya ketika dihubungi.
Kamarul Zaman berkata, sekiranya terdapat perkara tidak diingini semasa pengundian, masyarakat boleh menghubungi segera pihak polis.
Penantian rakyat Johor sejak pembubaran DUN pada 22 Januari lalu hampir menuju penamatnya apabila kurang 24 jam lagi sahaja bagi memilih 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang baharu.
Proses pengundian awal pada Selasa lalu berjalan lancar dengan peratusan keluar mengundi mencatatkan lebih 81 peratus di 63 pusat pengundian awal yang dibuka bermula pukul 8 hingga 5 petang. – UTUSAN











