PETALING JAYA: Polis menumpaskan sindiket penipuan pembelian hartanah dengan menahan 11 lelaki dalam serbuan di sebuah premis di ibu negara, malam tadi.
Serbuan kira-kira pukul 7 malam itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.
Ketua JSJK Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd .Mahidisham Ishak berkata, semua suspek berusia 22 hingga 36 tahun didapati menjalankan operasi sejak awal bulan ini dengan menawarkan kepada mangsa dari luar negara untuk membuat bidaan terhadap pembelian hartanah dan barang berharga yang tidak wujud.
“Nilai bidaan bermula daripada RM1,000 dan ke atas.
“Dalam serbuan itu, kita merampas lima unit komputer riba pelbagai jenama, 29 telefon bimbit pelbagai jenama dan satu rangkai kunci rumah yang digunakan dalam kegiatan itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd. Mahidisham, semua suspek ditahan reman sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.- UTUSAN