cerun bahaya

1,045 cerun dikenal pasti berisiko runtuh

Pemandangan dari udara pergerakan tanah di Taman Bukit Permai, Ampang yang berlaku dan mengorbankan empat nyawa. Sebanyak 15 rumah dan 10 kenderaan turut rosak akibat dihempap tanah runtuh. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kedudukan pokok yang condong dan juga terdapat jatuhan batu-batu kecil di cerun antara tanda-tanda awal runtuhan tanah kemungkinan akan berlaku.

Bukan itu sahaja, hasil kajian Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia mendapati, aliran air yang keluar dari tebing cerun selain bunyi pelik seolah-olah pokok tumbang dan batu jatuh juga antara petanda awal kejadian tanah runtuh.

Perkara ini jelas membimbangkan apabila melalui pemetaan bahaya dan risiko yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya Raya mendapati, sebanyak 1,045 cerun yang berada sepanjang Jalan Persekutuan di Semenanjung Malaysia berada dalam kategori berisiko tinggi untuk runtuh.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, cerun-cerun yang dikenal pasti memerlukan pelaksanaan kerja-kerja pencegahan atau preventive works dengan menelan belanja yang tinggi dengan sekitar RM974.8 juta.

Kata beliau, apabila berlaku kejadian tanah runtuh, kebiasaannya kerja-kerja pembersihan akan mengambil masa selama tiga minggu.

“Selain itu, bagi proses perolehan bagi kerja-kerja pembaikan adalah selama tiga bulan dan kerja-kerja pembaikan akan mengambil masa dalam tempoh 10 bulan,” katanya di sini semalam.

Mengulas lanjut, kata Fadillah, bagi mengenal pasti sama ada kawasan tersebut serta yang berhampiran benar-benar selamat diduduki atau tidak pemantauan akan dilakukan JKR bersama agensi-agensi lain berkaitan kerana ianya melibatkan kawasan pihak berkuasa tempatan.

“Untuk kejadian tanah runtuh di Ampang, JKR hanya dijemput oleh pihak PBT berkenaan untuk membantu mengenalpasti punca kejadian sahaja.

“Kawasan kejadian adalah di bawah bidang kuasa PBT,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, sebanyak 51 panggilan kecemasan diterima pihaknya membabitkan kegiatan tanah runtuh di seluruh negara sejak awal tahun ini sehingga 9 Mac lalu.

Kata beliau, daripada jumlah itu, panggilan tertinggi diterima adalah di Sarawak apabila sebanyak 21 kes dilaporkan diikuti masing-masing sembilan di Selangor dan Sabah.

“Selain itu, sebanyak lima panggilan kecemasan di terima di Kuala Lumpur diikuti Johor dan Negeri Sembilan masing-masing dua kes selain Pahang, Perak serta Pulau Pinang masing-masing satu.

“Sepanjang tempoh itu tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan hanya membabitkan dua kecederaan sahaja,” jelasnya.

Terbaharu, dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang semalam, empat maut manakala seorang cedera selepas tertimbus dalam runtuhan tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang dekat sini.

Empat mangsa disahkan maut iaitu Chong Siew Kim, 85, diikuti E. Ramasamy, 58; A. Mahendran, 36, dan Mohd. Saiful Ridzuan Ishak, 37.

Sementara itu, seorang lagi mangsa yang cedera iaitu Cheng Kim Cheng, 85 tahun dan masih menerima rawatan di Hospital Ampang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN