LANGKAWI: Seramai 1,033 usahawan di pulau peranginan ini bakal menerima kemudahan pembiayaan di bawah program keusahawanan di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, Mara menyediakan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi menjayakan program keusahawanan tersebut bagi memastikan mereka kekal berdaya saing.
“Mara sentiasa berusaha untuk menambah baik ilmu keusahawanan dan kemahiran baharu sebagai persediaan kepada usahawan dibawah kawal selianya untuk kembali berdaya saing selepas terkesan dengan pandemik Covid-19.
Kebanyakan usahawan berjaya membuktikan, mereka dapat menguruskan perniagaan dengan lebih cekap menerusi latihan yang dilaksanakan oleh Mara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Usahawan Mara di sini hari ini.
Pada majlis sama, beliau turut melancarkan projek perintis Program ‘Go Cashless’ Peringkat Negeri Kedah bagi menggalakkan urusan tanpa tunai membabitkan penyewa premis Mara di negeri itu.
Jelasnya, Mara mengadakan program seumpama ini bagi menggalakkan pendigitalan perniagaan penyewa premis Mara di negeri ini.
Mahdzir berkata, seramai 217 usahawan yang menyewa premis Mara telah menggunakan aplikasi tersebut.
Pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Jualan Tahun 2021 PMB Investment Berhad kepada tiga usahawan yang berjaya mencatat nilai jualan melebihi RM11 juta setahun.
Turut disampaikan replika cek dan surat tawaran kepada tiga orang penerima Skim pembiayaan DanaNITA, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres (SPiKE) dan Program Galakan Eksport Bumiputera.
Ketiga-tiga kemudahan pembiayaan keusahawanan Mara itu membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM2.05 juta. – UTUSAN