1,013 calon SPM di Tanjong Karang terima bantuan alat tulis 

1,013 calon SPM di Tanjong Karang terima bantuan alat tulis 

PENGETUA dari lapan sekolah di Tanjong Karang menerima sumbangan alat tulis untuk diserahkan kepada pelajar calon SPM di PPD Kuala Selangor, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR: Seramai 1,013 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari lapan buah sekolah menengah di Tanjong Karang di sini menerima sumbangan alat tulis daripada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, semalam.

Sumbangan itu diserahkan kepada pengetua sekolah yang mewakili pelajar masing-masing di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor, di sini.

Menurut Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang, sumbangan itu diharap memberi semangat kepada calon SPM yang berdepan cabaran belajar secara dalam talian berikutan pandemik Covid-19.

“Pendidikan amat penting untuk menjamin masa depan seseorang selain mengubah kehidupan keluarga pada masa akan datang.

“Sumbangan ini diharap memberi motivasi dan sokongan moral kepada anak-anak untuk berjaya dalam SPM,” katanya ketika berucap merasmikan program itu secara maya. Hadir sama, Ketua Pegawai PPD Kuala Selangor, Mohd. Azuan Mohd. Nawawi. 

Penyerahan sumbangan itu melibatkan lapan sekolah menengah di kawasan Parlimen Tanjong Karang.

Tambah Noh, beliau turut mengharapkan keputusan SPM pada tahun ini jauh lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

Hari ini seramai 73,938 pelajar di seluruh Selangor mula menduduki peperiksaan SPM yang akan berjalan selama 15 hari sehingga 29 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN