KOTA BHARU: Polis menambah sebanyak 60 ekor kuda untuk membantu penugasan rondaan di sempadan Malaysia- Thailand oleh unit berkuda sebagai persiapan menjelang pembukaan sempadan negara pada 1 April ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, penambahan itu menjadikan sebanyak 100 ekor kuda digunakan bagi penugasan di Kelantan, Kedah dan Perlis.
Bagaimanapun, kata beliau, polis tidak bercadang menambah anggota di negeri-negeri terbabit kerana kekuatan sedia ada sudah mencukupi.
“Pada 1 April ini Ketua Polis Kelantan, Kedah dan perlis akan melakukan pelancaran unit berkuda di negeri masing- masing.
“Kita sudah membuat persiapan sepenuhnya untuk pembukaan sempadan negara dan unit berkuda yang berpusat di Cheras, Kuala Lumpur dibawa ke tiga negeri ini dalam masa terdekat,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Reunion Ex-Batalion 11 Pasukan Polis Hutan (PPH) Pengkalan Chepa, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Hazani berkata, penugasan sempadan dilakukan seperti biasa oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) manakala Pasukan Polis Marin (PPM) pula menjalankan tugas rondaan di perairan negara.
Ditanya persiapan polis untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU), Hazani berkata, pihaknya sudah bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan jika ia diadakan pada bila-bila masa.
“Ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) di Melaka dan Johor baru-baru ini, polis tidak berdepan masalah memastikan kelancarannya serta menjaga keselamatan orang awam dengan kerjasama Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela),” katanya. – UTUSAN