KULAI: Parti Warisan Sabah (Warisan) mengumumkan kerusi pertama yang bakal ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Kerusi tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu.
Pengumuman itu dibuat Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Tahun Baharu Cina 2022, di sini malam tadi.
“Kita akan bertanding di PRN Johor. Mungkin tidak banyak kerusi. Tetapi sasaran kita adalah untuk menjadi pembangkang yang kuat di Johor. Kita akan mulakan kebangkitan rakyat di negeri ini sebelum kita sasarkan untuk menubuhkan kerajaan di peringkat pusat dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kelak.
“Dengan itu, Warisan akan bertanding di DUN Bukit Batu, pengundi di sini tidak perlu risau kerana calon kita adalah calon tempatan dan orang muda, bukan orang Sabah,” katanya.
Turut hadir, Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong dan Pengerusi Warisan Negeri Johor, Suhaimi Salleh.
Beliau turut memberitahu, jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi dan calon-calon mereka akan diumumkan dalam tempoh sehari dua ini.
Tambah beliau, rakyat khususnya pengundi negeri ini juga tidak perlu berasa bimbang untuk menukar undi daripada parti yang biasa diundi mereka kepada Warisan dalam PRN Johor pada 12 Mac ini.
“Orang Melayu tidak mati kalau tak undi keris, Islam tidak mati kalau tidak undi bulan, Cina tidak mati kalau tak undi roket. Jadi rakyat jangan terpedaya dengan bendera dan logo sebaliknya ukur manusia daripada amalan mereka,” jelasnya.
Dalam majlis berkenaan, Mohd. Shafie turut menerima 1,000 borang keahlian bagi menyertai parti berkenaan. Ini termasuk daripada bekas ahli UMNO, PKR, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Sebelum ini, bekas Ketua Menteri Sabah itu memberitahu, Warisan turut berminat untuk meletakkan calon di kerusi DUN Permas. Kawasan itu mempunyai komuniti masyarakat Borneo yang besar selain DUN Johor Jaya dan Pekan Nanas. – UTUSAN