Warisan belum muktamad kawasan, DUN Permas dalam radar

Warisan belum muktamad kawasan, DUN Permas dalam radar

MOHD. Shafie Apdal (duduk, kanan) beramah mesra dengan masyarakat Sabah ketika berkunjung ke sebuah kedai makan di Bandar Seri Alam, Masai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PASIR GUDANG: Parti Warisan Sabah (Warisan) akan menampilkan sebahagian besar calon baharu yang bertanding buat pertama kali pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, senarai penuh calon dan bilangan kerusi yang ditandingi parti itu belum dimuktamadkan namun akan diumumkan dalam masa terdekat.

Malah, beliau tidak menolak kemungkinan antara kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi parti itu adalah Permas dalam Parlimen Pasir Gudang. 

“Soal calon yang bertanding, kita umumkan sedikit masa lagi. Masih ada beberapa perkara yang perlu dibincangkan terlebih dahulu dari segi jumlah kerusi yang ditandingi. Calon pun kita sudah kenal pasti dan umumkan tidak lama lagi. Kita adalah parti yang perlu melihat dari segi keadaan yang menawarkan muka baharu dalam arena politik, supaya nampak kelihatan bahawa inilah parti Warisan.

“Ya, DUN Permas adalah salah satu kerusi yang kita tandingi, sebab itu kita mengadakan lawatan ke sini hari ini. Kita turut mengadakan perbincangan persediaan untuk Parlimen Pasir Gudang,” katanya selepas mengadakan lawatan ke Permas, hari ini. 

Kelmarin, Mohd. Shafie mengumumkan Warisan bertanding di PRN Johor dan berdepan dengan pertembungan menentang Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) serta Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Ini adalah pertama kali Warisan ertanding di Semenanjung sejak parti itu dilancarkan di peringkat nasional tahun lalu.

“Biarpun kita lancarkan Warisan di Kuala Lumpur tahun lalu, kita umumkan tak bertanding di PRN Melaka dan tempat lain kerana bagi peluang kepada PH untuk bertanding.

“Tetapi kita buat keputusan untuk bertanding di Johor kerana melihat perlu ada pilihan untuk rakyat di negara ini dan tak boleh bergantung kepada parti yang ada sahaja. Jadi, kita tawarkan diri bertanding di Johor,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN