Wanita PN cadang 16 nama tanding PRN Johor

Wanita PN cadang 16 nama tanding PRN Johor

RINA Harun (tengah) menyaksikan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin menyerahkan bendera kepada wakil Wanita pada Majlis Pelancaran Jentera Wanita PN Negeri Johor di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Wanita Perikatan Nasional (PN) menghantar senarai 16 nama calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini. 

Ketua Wanita PN, Datuk Seri Rina Harun berkata, senarai nama itu sudah diserahkan kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbang bertanding daripada kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disertai nanti.

Beliau yang juga Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, senarai nama calon wanita yang dihantar itu termasuk calon parti komponen PN iaitu Pas dan Gerakan.

“Kita sudah menyerahkan 16 nama calon Wanita PN yang berkelayakan kepada pucuk pimpinan parti untuk dipertimbang dan diberi peluang bertanding di PRN Johor. Pemilihan calon itu dibuat secara teliti dengan mengambil kira pelbagai kategori dan latar belakang setiap individu terbabit. 

“Sudah pasti peluang ini turut diberikan kepada wanita untuk bertanding bahkan kita harap mereka ini bukan sahaja dipilih sebagai calon tetapi juga mampu menjadi Yang Berkhidmat (YB) pada 12 Mac nanti,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera Wanita PN Negeri Johor di Hotel Berjaya Waterfront, di sini malam tadi. 

Sebelum ini, PN mengumumkan untuk meletakkan calon di kesemua 56 kerusi DUN yang akan dipertanding pada PRN Johor, bulan depan.

Semalam, Hamzah yang juga Pengarah Jentera PRN Johor PN memberitahu, senarai penuh nama calon diumumkan pada minggu depan setelah kesemua calon didapati bersih dan tidak mempunyai rekod buruk.

Mengulas lanjut, Rina memberitahu Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin belum lagi mendedahkan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada calon Wanita PN pada PRN Johor ini. 

Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, Wanita PN telah bersiap sedia menghadapi PRN Johor sebelum pengumuman pembubaran DUN Johor dilakukan.

“Kita akan ketengahkan isu yang dekat dengan wanita antaranya usaha membantu menaikkan taraf ekonomi mereka, bimbing mereka untuk bangkit semula dan sebagainya,” ujarnya. 

Katanya, Wanita PN kini mempunyai kira-kira 10,000 ahli berdaftar yang akan bergerak membantu PN di seluruh pelosok negeri ini. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN