PETALING JAYA: Seorang wanita maut selepas digilis lori di Kilometer 19 Lebuhraya Pantai Baru (NPE) berhampiran Taman Maju Jaya di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.50 pagi itu, wanita berusia 24 tahun itu mengalami kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal di laluan sebelah kanan bergesel dengan lori menyebabkannya terjatuh lalu digilis kenderaan itu.
Kata beliau, susulan kemalangan itu mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan lnjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan.
“Justeru itu, individu yang menjadi saksi atau berada di tempat kejadian diminta tampil menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor R Navalan di talian 014-2536820 atau hadir ke balai polis berhampiran,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. —UTUSAN