Tingkat kawalan, tuntutan terhadap Sabah akan dibangkitkan

Tingkat kawalan sempadan, tuntutan terhadap Sabah akan dibangkitkan

HAJIJI Noor (tiga kanan) bersama Idris Abdullah (dua kanan) semasa taklimat keselamatan di IPK Sabah di Kota Kinabalu hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Polis Sabah diingatkan agar mempertingkatkan pengawasan dan kawalan di sempadan negeri susulan Pilihan Raya Presiden Filipina yang semakin hampir.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu tuntutan terhadap Sabah sering menjadi topik hangat calon-calon presiden demi untuk mendapatkan sokongan pengundi. Maka, polis perlu meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah.

“Bahang Pilihan Raya Presiden Filipina yang akan diadakan pada 9 Mei ini perlu dipantau dengan lebih dekat oleh polis terutama unit cawangan khas,” katanya semasa lawatan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, hari ini.

Dalam sesi taklimat oleh Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, Hajiji menyatakan beliau berpuas hati dengan keadaan keselamatan di Sabah.

Antara isu lain yang dibincangkan adalah mengembalikan semula larangan penggunaan bot pam yang diluluskan oleh Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada tahun lalu.

Justeru, pihak polis perlu menyediakan kertas kerja untuk dibentangkan semasa mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri pada tahun ini bagi mencadangkan langkah alternatif agar larangan itu boleh dikuatkuasakan semula.

Bagi meningkatkan kawalan keselamatan di Sabah, beliau turut mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong untuk melihat permohonan tanah bagi pembinaan pangkalan polis marin di bandar raya ini dan Pasukan Gerakan Am di Nabawan.

“Kedua-dua permohonan itu perlu diberi keutamaan kerana ia membabitkan keselamatan dan kedaulatan negeri ini,” katanya.

Mengulas lanjut katanya, polis perlu memantau isu penyeludupan masuk dadah ke negeri ini. Sabah sering menjadi transit penyeludupan dadah dan keadaan itu menimbulkan kebimbangan akan wujud pelbagai masalah sosial di Sabah.

Di samping itu, Hajiji juga bersetuju agar kuasa meluluskan lesen senjata api diletakkan di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Polis Sabah, sama seperti dilakukan di Sarawak.

“Saya akan membawa cadangan ini kepada Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri,” katanya.

Hadir sama ialah Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Sarul Bahiyah Abu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Datuk Awang Shahminan Sahari dan Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun. UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya