Tindakan Mohd. Khairuddin Aman terhormat - Utusan Malaysia

Tindakan Mohd. Khairuddin Aman terhormat

NIK Muhammad Zawawi Salleh ditemui pemberita selepas melawat tapak penanaman padi wangi melalui Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) di Sekinchan di Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAK BERNAM: Perletakan jawatan oleh Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali sebagai Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU) Pas disifatkan sebagai tindakan terhormat dan bermoral.

Hal itu disifatkan sedemikian oleh Setiausaha MSU yang baharu, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh yang mengakui menerima pelantikan itu selepas persetujuan sebulat suara dalam Mesyuarat MSU pada 20 Februari lalu.

Menurut beliau, kedudukannya menggantikan Mohd. Khairuddin Aman adalah pelantikan semula apabila pernah memegang jawatan itu hampir 15 tahun.

“Itu betul pada malam kelmarin, mesyuarat MSU, saya salah seorang daripada anggota, maka sebulat suara apabila Datuk Dr. Khairuddin meletakkan jawatan, itu adalah satu tindakan yang sangat bermoral dan baik memberi petanda beliau tidak menghadapi sebarang masalah.

“Majlis juga berbincang dan memutuskan untuk melantik saya semula. Sebelum ini pun saya adalah Setiausaha MSU dan sudah pegang lama hampir 15 tahun,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak penanaman padi wangi melalui Program Smart Sawah Berskala Besar (SBB) di Sekinchan hari ini.

Nik Muhammad Zawawi menambah, MSU adalah badan besar dalam parti dan memaklumkan bersedia untuk bekerjasama dengan Mursyidul Am, Datuk Hashim Jasin dan Timbalannya, Datuk Ahmad Yakob dan juga Presiden serta Timbalan Presiden dan seluruh jawatankuasa Pas.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan Mohd. Khairuddin Aman yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan Ahli Majlis Syura Ulama Pas.

Menurut Mohd. Khairuddin, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Setiausaha Majlis Syura Pas dan dibuat mengikut peruntukan perlembagaan parti di bawah Fasal 8(7).

Dalam pada itu, Nik Muhammad Zawawi menjelaskan, beliau sekali lagi akan memainkan peranan dalam memastikan penyatuan akar umbi Pas dan masyarakat umumnya melalui MSU.

Menurutnya, beliau akan memastikan perjalanan dan pentadbiran parti akan mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

“Dalam Pas, kita ikut arahan daripada Pas. Itu adalah kelebihan yang ada dalam Pas, bila parti buat keputusan ‘A’ maka A, kalau ‘B’ maka ‘B’. Itulah kelebihan, macam calon kalau ditukar, dalam Pas itu tidak akan menimbulkan masalah yang itulah (perpecahan).

“Ia bukanlah 100 peratus, kalau begitu semua anggotanya adalah malaikat belaka. Tetap ada (yang tidak bersetuju) insya-Allah kita boleh kawal dengan baik dan MSU akan berperanan dalam perkara seumpama ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN