KUALA TERENGGANU: Jabatan Perhutanan negeri merekodkan sebanyak 72 kes kesalahan hutan yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab sepanjang tahun lalu.
Timbalan Pengarahnya, Azni Rahman A. Wahid berkata, sepanjang tempoh itu, sebanyak 66 kertas siasatan dibuka membabitkan kompaun lebih RM619,000.
Katanya, antara kesalahan tersebut adalah transit membawa hasil hutan tanpa kebenaran, penerokaan hutan dan penebangan balak tanpa lesen.
“Tahun ini, dua lagi kes direkodkan iaitu di Hutan Simpan Tembat, Hulu Terengganu pada 11 Januari dan terbaharu di Besut. Bagaimanapun kes berkenaan masih dalam siasatan.
“Jabatan Perhutanan negeri tidak sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk pencerobohan sumber hutan,” katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Azni Rahman berkata, sebanyak 22 lokasi panas yang kerap berlaku kesalahan hutan dikesan di kawasan hutan simpan kekal di negeri ini.
Katanya, penemuan itu hasil pemantauan dan rondaan berterusan seramai 75 kakitangannya dalam Op Rimba. – UTUSAN