Strategi kurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan - Utusan Malaysia

Strategi kurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru pihak industri melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja.

Perdana Menteri berkata, perkara itu dengan mengambilkira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan.

Menurut beliau, majikan juga perlu lebih kreatif dalam memberi jaminan pekerjaan yang baik kepada  pekerja supaya mereka kekal bersama.

     “Bagi mengurangkan jurang ketidakpadanan pekerjaan dengan kelayakan pencari kerja, saya menyeru pihak industri untuk melaksanakan strategi pengambilan pekerja yang lebih baik.

“Ia dengan mengambil kira perubahan sosial termasuk suasana pekerjaan yang lebih fleksibel agar padanan yang lebih baik dapat diwujudkan,” katanya.

Beliau berucap dalam Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan melalui Bajet 2022 dengan sasaran 220,000 pelatih bagi meningkatkan kemahiran pekerjaan.

Katanya, langkah itu dilaksanakan melalui pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran termasuk program place and train iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan.

“Selain itu, program peningkatan kemahiran dengan keutamaan dalam bidang digital yang akan dilaksanakan oleh badan-badan termasuk HRD Corp dan Global Online Workforce di bawah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC),” katanya.

Selain itu Ismail Sabri berkata, Kementerian Sumber Manusia menyediakan sebanyak 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.

“Karnival Kerjaya JaminKerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya