SPRM berhubung dengan AS dapatkan bukti baharu 1MDB  - Utusan Malaysia

SPRM berhubung dengan AS dapatkan bukti baharu 1MDB 

Bicara kes skandal 1MDB.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah berhubung dengan pihak Amerika Syarikat (AS) bagi berkongsi maklumat sekiranya mereka mempunyai bukti terdapat individu lain yang didakwa turut menerima dana dikaitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mengesahkan perkara itu kepada Utusan Malaysia, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, perkongsian maklumat itu dibuat selepas pihaknya menerima aduan mengenai nama-nama tertentu yang disebut di luar negara yang dikatakan menerima suapan daripada entiti berkenaan

Menurut beliau, SPRM membuka kertas siasatan mengenai laporan berkenaan dan sekiranya ada maklumat yang diminta, pihaknya sedia berkongsi bukti-bukti berkenaan.

Jelasnya, perkongsian maklumat itu telah dibuat melalui permohonan SPRM melalui Pejabat Peguam Negara.

“Setakat ini, ada reaksi positif daripada AS namun setakat ini belum lagi ada bukti yang diperlukan didedahkan mereka.

“Jika kes-kes yang melibatkan negara-negara luar memang susahlah kita nak menuduh mana-mana pihak sebab keterangan itu melibatkan mutual legal assistance,” katanya dalam wawancara di pejabatnya di Putrajaya semalam. 

Mengulas lanjut, kata Azam, menjadi fokus utama SPRM kini adalah untuk mengembalikan aset  dikaitkan dengan dana 1MDB di luar negara.

Mingguan Malaysia sebelum ini mendakwa terdapat beberapa nama besar dikenal pasti menerima dana berkaitan skandal 1MDB tetapi perkara itu belum pernah didedahkan mana-mana pihak.

Bagaimanapun, perkara tersebut terdedah apabila SPRM berusaha melakukan pemulihan aset 1MDB sama ada di dalam dan luar negara yang melibatkan beberapa nama besar dan dikaitkan dengan 1MDB semuanya bernilai 20.5 bilion.

Dalam pada itu, SPRM pada Oktober lalu mengesahkan menerima aduan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak terhadap bekas Pengurus Kanan Goldman Sachs, Tim Leissner berhubung isu 1MDB.

Bekas Perdana Menteri itu membuat laporan terhadap Leissner bagi membolehkan pihak berkuasa Malaysia menyoal, membawa balik atau meminta senarai nama daripada Jabatan Kehakiman (DOJ) AS, dalam usaha membersihkan namanya dalam kes 1MDB.

Beliau berkata, tindakannya itu berikutan sudah habis usaha untuk mendapatkan senarai nama individu daripada syarikat 1MDB dan Kerajaan Malaysia, yang didakwa pernah disogok Leissner seperti pengakuan salah lelaki itu di mahkamah di AS, tahun lalu, yang menyaksikan Goldman Sachs bersetuju membayar ganti rugi AS$3.9 bilion (RM16.4 bilion) kepada Kerajaan Malaysia.

Pada 21 Julai lalu, Najib gagal mendapatkan dokumen 1MDB membabitkan keluarga bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz dan Goldman Sachs selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Collin Lawrence Sequerah menolak permohonannya.

Sequerah dalam penghakimannya berkata, maklumat yang ingin diperoleh oleh pembelaan bukan sebahagian daripada kes pendakwaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN