JOHOR BAHRU: Prosedur Operasi Standard (SOP) yang diguna pakai pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kini dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan oleh pihak bertanggungjawab.
Ketua Komunikasi Korporat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Mohammad Azlan Charles Abdullah berkata, pihaknya akan mengumumkan SOP berkenaan sebelum hari penamaan calon.
“(SOP bagi PRN Johor) masih dalam peringat akhir dan kita akan cuba keluarkan lebih awal, SOP itu sepatutnya diumumkan sebelum hari penamaan, jadi Insya-Allah kita akan keluarkan.
“SPR akan mengumumkan melalui kenyataan media sesudah kita mendapat kelulusan daripada pihak berkenaan iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara,” katanya dalam sidang akhbar yang diadakan selepas Taklimat SPR Bersama Petugas Media Sempena PRN Johor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.
Sementara itu, berkenaan program tersebut, Mohammad Azlan Charles memberitahu, tujuannya adalah memastikan kelancaran operasi sepanjang PRN Johor termasuk membabitkan tugas-tugas media.
“Kita berkongsi dengan media apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan sepanjang mereka membuat liputan, bagaimanapun SOP belum lagi dikeluarkan jadi kita masih menunggu,” ujarnya.
Kelmarin, SPR memaklumkan PRN Johor diadakan pada 12 Mac manakala tarikh mengundi awal pada 8 Mac dengan tarikh penamaan calon ditetapkan pada 26 Februari. –UTUSAN