MELAKA: Bekas Setiausaha Majlis Syura Ulama (MSU), Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali tetap akan meneruskan usaha membantu jentera parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, adalah menjadi tanggungjawabnya untuk turun padang membantu calon-calon Pas yang akan diumumkan bertanding nanti, walaupun tidak memegang sebarang jawatan penting dalam parti.
“Saya masih ahli Pas dan menjadi tanggungjawab untuk membantu apa sahaja untuk parti termasuk juga membantu jentera parti menghadapi PRN Johor nanti. Soal berapa kerusi yang akan ditandingi atau peluang untuk menang, itu adalah keputusan pucuk tertinggi parti dan saya yang masih menjadi ahli tetap terus membantu untuk parti.
“Saya turun ke padang membantu calon-calon Pas di Johor dalam usaha memastikan kita menang lebih daripada satu kerusi berbanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali di Seri Negeri di sini, semalam.
Beliau hadir pada pertemuan tersebut selaku Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Isnin lalu, Mohd. Khairuddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan ahli MSU yang dilakukan mengikut Fasal 8 (7) dan Fasal 8 (5) Perlembagaan Pas.
Pada 11 Februari lalu, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan, Mohd. Khairuddin digugurkan daripada jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulama, selepas perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat.
Beliau sebelum itu turut digugurkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pas Pusat kerana dikatakan mempunyai masalah disiplin dan berkaitan perkara dalaman parti itu.
Dalam pada itu, tambah Mohd. Khairuddin, keputusan yang diambilnya untuk meletakkan jawatan sebagai Setiausaha MSU baru-baru ini dibuat secara sukarela, tidak dipaksa mana-mana pihak.
“Dalam perjuangan politik yang diceburi, tidak pernah wujud perasaan kecewa kerana setiap apa yang berlaku mesti ada hikmah disebaliknya,” jelasnya. – UTUSAN