Sabah tidak boleh bergantung kepada parti tempatan

Sabah tidak boleh bergantung kepada parti tempatan

IR. ABDUL AZIZ JULKARNAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Perjuangan hak-hak Sabah menerusi parti tempatan semata-mata tidak akan mampu untuk dijayakan.

Sejarah politik negeri ini sudah membuktikan formula berkenaan telah gagal pada tahun 1970 dan 1990-an dan ketika itu sedikit demi sedikit hak Sabah dirampas.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pemuda  UMNO Sabah, Ir. Abdul Aziz Julkarnain berkata, formula bergantung sepenuhnya kepada parti tempatan untuk memperjuangkan hak-hak negeri ini tidak akan berjaya kerana peranan parti nasional amat penting.

“Tidak semestinya bergerak sebagai parti tempatan, kita akan berjaya. Jika dilihat pada 1990-an, semua parti tempatan berada di Sabah namun, apa yang berlaku? sedikit demi sedikit hak kita diambil. Malah, semasa pindaan Perlembagaan Persekutuan dilakukan 1976, suara parti tempatan langsung tidak didengari.

“Apabila kita kecil, kita senang dibuli tapi, apabila kita berada dalam kapal lebih besar seperti UMNO/BN, sudah pasti kita boleh mengemudi kapal ini mengikut acuan dan keinginan negeri ini,” katanya.

Menurut beliau, semasa Parti Warisan memerintah selama 27 bulan pun, mereka sudah diberi ruang yang sangat luas sebagai parti tempatan namun, manifesto dan tuntutan mereka tidak dilayan dan diendahkan oleh kerajaan Pusat.

Justeru, sekiranya UMNO kembali memerintah, pemimpin di negeri ini bukan setakat boleh memilih Perdana Menteri malah, boleh memilih siapa Presiden parti kerana suara daripada negeri ini lebih didengari.

Pada masa ini, Sabah mempunyai keahlian paling ramai di dalam UMNO dan dengan keahlian yang ramai itu, beliau percaya pemimpin Sabah mampu mempengaruhi keputusan di peringkat nasional.

Presiden parti juga harus mengambil pertimbangan keperluan di Sabah dan Sarawak kerana sumbangan daripada pemimpin kedua-dua negeri itu yang membolehkan individu itu diangkat sebagai presiden.

Oleh itu, pada masa akan datang tidak mustahil untuk melihat pemimpin Sabah menerajui kepimpinan utama negara maka, asas perjuangan yang ada sekarang perlu diperkukuhkan.

“Pada masa akan datang akan lahir pemimpin utama seperti Perdana Menteri mahupun Timbalan Perdana Menteri atau Menteri-menteri kanan daripada Sabah.

“Masanya akan tiba dan kita perlu perkukuhkan kedudukan kita di dalam parti dan harus berfikiran dan berjuang di peringkat nasional jika mahu memajukan negeri dan negara ini.

“Jangan terperangkap dalam kepompong negeri sahaja, suara kita akan lebih kuat sekiranya kita berada dalam parti nasional,” katanya. UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya