Rezeki penoreh getah terjejas musim kemarau - Utusan Malaysia

Rezeki penoreh getah terjejas musim kemarau

BKKA 2023 diharapkan dapat meringankan beban pekebun kecil getah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

POKOK SENA: Penoreh getah di negeri ini mengeluh apabila pengeluaran susu getah semakin merosot sejak sebulan lalu akibat cuaca panas yang menjejaskan pendapatan mereka.

Nor Sahima Jusoh, 51, dari Kampung Baharu, Panchor di sini berkata, pada musim panas kebiasaannya daun pokok getah luruh dan mengeluarkan susu sedikit.

“Lebih mengecewakan penoreh, harga getah sekerap pada masa ini agak tinggi iaitu antara RM3.20 hingga RM3.40 sekilogram tetapi pokok getah pula tidak mengeluarkan banyak susu.

“Pada musim ini walaupun harganya naik sehingga RM10 sekilogram, tetapi penoreh tidak dapat membekalkan hasil getah sekerap kerana pengeluaran susu terhad,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Selain itu, cerita Nor Sahima, penoreh juga terpaksa keluar menoreh lebih awal iaitu kira-kira pukul 6.30 pagi kerana pokok getah mampu mengeluarkan susu yang lebih berbanding menoreh pada pukul 8 pagi.

“Bagaimanapun penoreh akan berhenti menoreh pada pukul 9 pagi kerana cuaca terlalu panas,” ujarnya.

Rakannya, Shobihah Hassan, 45, berkata, daun pokok getah getah akan luruh dan berlarutan sehingga lebih dua bulan dan dalam tempoh itu pendapatan penoreh terjejas.

Menurutnya, pada masa ini, terdapat kalangan penoreh terpaksa berhutang atau menggadai barangan kemas bagi meneruskan kehidupan terutamanya bagi perbelanjaan anak yang bersekolah.

“Setiap kali musim kemarau selalunya daun akan luruh dan kemudian akan mengeluar pucuk baharu serta berbunga hingga mengeluarkan buah dan selepas itu susu akan kembali banyak,” katanya.

Raziman Awang, 56, pula berkata, pada musim ini, penoreh akan mengumpul hasil torehan dalam masa tiga minggu berbanding sebelum ini hanya satu hingga dua minggu untuk dijual.

Katanya, sebelum ini dia akan mengutip getah sekerap sebanyak 60 kilogram (kg) bagi setiap dua minggu tetapi pada masa ini hanya memperoleh 15 hingga 20kg dalam tempoh tiga minggu.

“Oleh itu tidak hairanlah pada musim ini saya mampu memperoleh pendapatan hanya RM150 dalam masa tiga minggu berbanding sebanyak RM500 dalam masa dua minggu sebelum ini,” tambahnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN