SEREMBAN: Sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Bandar Sri Sendayan di sini di mana menjadi lokasi seorang bayi perempuan berusia setahun tiga bulan yang meninggal dunia petang kelmarin didapati tidak mematuhi peraturan-peraturan keselamatan yang telah ditetapkan.
Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan, Rosnah Sardi berkata, hasil siasatan Pegawai Pelindung dan Pegawai Unit Penguatkuasaan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) Seremban mendapati, peraturan keselamatan yang diingkari pusat jagaan tersebut termasuk penggunaan buaian dan tiada pemadam api.
“Buaian ini kalau dengan pemantauan setiap masa tidak bahaya sebab boleh cepat-cepat bertindak. Tetapi di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) memang tidak dibenarkan penggunaan buaian.
“Ia kerana faktor penjaga yang mempunyai anak jagaan lain yang juga perlu diberikan perhatian, jadi untuk mengelakkan perkara tidak diingini, memang di Taska buaian tidak dibenarkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Rosnah menambah pusat jagaan itu yang tidak berdaftar di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) 1984 juga tidak mematuhi peraturan mengenai pengasuh serta penjagaan kanak-kanak.
“Hasil semakan mendapati pemilik Taska ini pernah membuat pra pendaftaran bagi Taska dengan pihak PKMD Seremban di premis lain atas nama yang sama. Permohonan itu bagaimanapun tidak disokong kerana tiada kelulusan daripada salah satu agensi teknikal berkaitan keselamatan kanak-kanak.
“Taska berkenaan telah ditutup pada 1 Oktober 2020. Taska di alamat yang baharu (lokasi kejadian) sehingga kini tidak didaftarkan dan tiada dalam pemakluman pihak JKM. Semakan terkini, perakuan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Taska berkenaan juga telah tamat pada 13 Disember 2019,” katanya.
Jelas beliau, JKM akan membuat tindakan penguatkuasaan mengikut peruntukan Seksyen 6 dan Seksyen 20A (1), Akta Taska 1984 dan Taska tersebut kini ditutup bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan.
“Pihak JKM juga akan menyantuni keluarga bayi tersebut dan bersedia memberikan perkhidmatan sokongan jika diperlukan,” katanya.
Dalam pada itu, Rosnah menyeru ibu bapa yang ingin menghantar anak mereka ke Taska supaya memilih Taska yang berdaftar di bawah Akta Taska 1984.
“Ini kerana pihak JKM dan agensi teknikal yang lain telah membuat pemantauan dan memastikan TaskA tersebut selamat dan mematuhi peraturan yang ditetapkan demi kepentingan terbaik anak-anak yang diasuh,” katanya.
Semalam akhbar ini melaporkan, seorang bayi perempuan berusia 15 bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dengan kepalanya tersangkut pada buaian ketika di rumah pengasuh di Bandar Sri Sendayan di sini.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof Bayi tersebut, Nour Rania Asyifaa Yuseri kemudian disahkan meninggal dunia pada pukul 4.30 petang oleh doktor yang bertugas di Klinik Kesihatan Sendayan selepas pengasuhnya mendapati dia gagal bernafas.
Hasil siasatan awal mendapati selepas diberikan susu pada pukul 12.30 tengah hari, bayi berkenaan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik bersama dua kanak-kanak lain.
Selepas itu pengasuh keluar dari bilik pada pukul 2 petang untuk tujuan tugasan lain kemudiannya pada 3 petang pengasuh masuk semula ke bilik dan mendapati bayi itu dalam keadaan kepala tersangkut pada kain buaian.
“Pengasuh terus mengambil bayi itu dari buaian dan menjalankan ujian proses bantuan pernafasan (CPR), tetapi gagal pengasuh terus membawa bayi ke Klinik Kesihatan Sendayan pada pukul 3.45 petang sebelum disahkan meninggal dunia,” katanya. – UTUSAN