Pulau Pinang turut rasai gegaran akibat gempa bumi di Sumatera  - Utusan Malaysia

Pulau Pinang turut rasai gegaran akibat gempa bumi di Sumatera 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Gempa bumi dengan kekuatan 6.2 skala Ritcher yang melanda Sumatera, Indonesia pagi tadi turut dirasai di kawasan pusat bandar di sini.

Gegaran pada waktu tempatan pukul 9.40 pagi itu dirasai kakitangan yang sedang bertugas  di Bangunan Persekutuan di Jalan Anson di sini.

Seorang kakitangan yang bertugas di tingkat lapan bangunan tersebut Azmah Ibrahim, 39, berkata, dia turut merasai gegaran akibat gempa bumi itu dalam beberapa saat.

“Saya terasa pening dan nampak papan tanda yang tergantung di pintu dan pokok hiasan di pejabat bergoyang.

“Rakan saya yang berada di sebelah turut mengadu perkara yang sama seperti yang saya alami,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Pagi tadi CNN Indonesia melaporkan, satu gempa bumi berukuran 6.2 pada skala Richter menggoncang wilayah Sumatera Barat.

Menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG), gempa yang berlaku sekitar pukul 8.39 pagi (waktu tempatan) itu terletak 17 kilometer (km) di Timur Laut Pasaman Barat, 64 km di barat laut Bukit Tinggi.

Menurut Azmah, tiada sesiapa yang meninggalkan bangunan tersebut kerana kejadian berkenaan amat pantas dan semuanya kembali bertugas seperti biasa.

“Sebelum ini, beberapa tahun lalu gegaran yang sama juga pernah dirasai apabila berlaku gempa bumi di Sumatera,” katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, Saadon Moktar berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai gegaran akibat gempa bumi itu di Pulau Pinang.

“Kami sentiasa memantau situasi terkini kerana difahamkan terdapat beberapa kawasan yang mengalami gegaran pada skala kecil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN