JOHOR BAHRU: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Parit Sulong mempersoal kewajaran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang akan mengadakan Karnival KPT Keluarga Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Batu Pahat.
Ketua Penerangan Bersatu Parit Sulong, Hamidon Aris berkata, program selama tiga hari yang dikhabarkan akan turut dihadiri Perdana Menteri didapati tidak sesuai berikutan peningkatan kes Covid-19.
Menurutnya, mereka mendapati maklumat mengenai karnival itu telah disebar secara meluas melalui institusi pengajian tinggi dan institut vokasional di sekitar Johor dan Melaka.
“Kami menerima baik usaha menganjurkan karnival ini kerana ia membuka peluang kepada anak muda mengetahui wujudnya peluang pekerjaan di sekitar Johor dan Melaka.
“Tetapi lokasi karnival ini di MRSM Batu Pahat tidak sesuai kerana kita sedang berhadapan dengan penambahan kes jangkitan Covid-19, terutama sekali kategori Omicron,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengikut hebahan, karnival tersebut akan bermula esok sehingga Sabtu mulai pukul 8.30 pagi hingga 4.30 petang dengan perasmian akan dilakukan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat.
Tambah Hamidon, mereka bimbang sekiranya penganjuran karnival itu berpotensi menyebabkan Covid-19 merebak kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM).
“Oleh itu, kami mendesak supaya karnival ini dipindahkan ke satu lokasi lain yang tidak menjejaskan anak-anak yang sedang menduduki peperiksaan,” katanya. – UTUSAN