PRN Johor: Salahuddin optimis ‘pertikaian’ PKR-Muda dapat selesai

PRN Johor: Salahuddin optimis ‘pertikaian’ PKR-Muda dapat selesai

SALAHUDDIN Ayub (depan, tengah) bersama 15 calon Amanah lain yang akan bertanding pada PRN Johor selepas majlis pengumuman calon parti itu di Hotel Thistle, Johor Bahru. - FOTO/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Isu pembahagian kerusi melibatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini dijangka dapat diselesaikan dengan baik.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, masih ada masa kepada kedua-dua parti tersebut untuk mencari titik persamaan dalam menyelesaikan kemelut pembahagian kerusi.

Beliau berkata, semangat kerjasama dalam PH akan menjadi panduan kepada PKR dan Muda bagi mencari jalan penyelesaian sebelum tarikh penamaan calon pada 26 Februari ini.

“Atas semangat PH, saya yakin Muda dan PKR dapat selesaikan rundingan pembahagian kerusi dengan baik. Pada pandangan saya biarlah PKR dan Muda selesaikannya bersama.

“Saya juga percaya apa juga isu yang berlaku dapat diselesaikan kerana banyak lagi masa sebelum tarikh penamaan calon PRN Johor,” katanya pada Majlis Pengumuman Calon Amanah bagi PRN Johor di Hotel Thistle, di sini hari ini.

Terdahulu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, rundingan kerjasama politik antara parti itu dan PKR sempena PRN Johor gagal capai kata sepakat kerana PKR telah mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukan kepada mereka.

Syed Saddiq berkata, sekiranya pertindihan kerusi berlaku antara kedua-dua parti berkenaan, Muda akan menyerahkan soal itu kepada kuasa rakyat.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga calon Amanah bagi kerusi DUN Simpang Jeram berkata, lapan calon muka baharu yang ditampilkan menjadi bukti Amanah sebuah parti yang releven, progresif dan mampu memikat pengundi. 

“Daripada 16 calon yang diumumkan, lapan daripada mereka merupakan muka baharu gandingan orang muda dan senior. Saya yakin kombinasi calon yang diumumkan ini akan menarik perhatian pengundi.

“Selain itu calon yang dipilih telah dibuat tapisan oleh parti termasuk di peringkat polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Insolvensi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya