JOHOR BAHRU: Rundingan kerjasama politik antara Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dan PKR sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor gagal mencapai kata sepakat.
Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, hal itu kerana PKR telah mengumumkan calon di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diserahkan kepada parti itu oleh Pakatan Harapan (PH).
Menurut beliau, sekiranya pertindihan kerusi berlaku antara Muda dan PKR, mereka akan menyerah perkara itu kepada kuasa rakyat.
“Muda telah memberi usaha dan komitmen berterusan untuk mengelak pertindihan kerusi dalam kalangan parti pembangkang kerana fokus Muda adalah membawa perubahan yang baik kepada negeri Johor.
“Melalui rundingan rasmi bersama DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah), Muda telah berjaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi.
“Muda telah mengadakan rundingan rasmi bersama pimpinan PKR, namun PKR telah membuat keputusan mengumumkan senarai calon di 20 kerusi
Sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama Muda,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata Syed Saddiq, bagaimanapun Muda telah menyampaikan niat dan hasratnya untuk mengelak sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR kepada rakan DAP dan Amanah.
“Muda juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR.
“(Namun) Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan hujung minggu ini,” jelasnya.
Terdahulu, Muda telah mencapai persetujuan dengan DAP dan Amanah untuk menjalin kerjasama politik dalam PRN Johor ini dengan kedua-dua parti komponen PH itu bersetuju menyerahkan enam kerusi DUN kepada Muda.
Muda juga sudah mengumumkan calon sulungnya yang akan bertanding buat pertama kali iaitu Setiausaha Agungnya, Amira Aisya Abd. Aziz di kerusi DUN Puteri Wangsa.- UTUSAN