PRN Johor: Iklan pilihan raya perlu permit MBJB

PRN Johor: Iklan pilihan raya perlu permit MBJB

MOHD. NOORAZAM OSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Mana-mana parti politik perlu mendapatkan Permit Mempamerkan Iklan Pilihan Raya daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) bagi memasang iklan-iklan kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Noorazam Osman berkata, tindakan itu bagi melancarkan urusan berkaitan kempen pilihan raya dan memastikan iklan-iklan berkenaan dipasang mengikut peraturan yang ditetapkan.

Katanya, MBJB akan mengeluarkan Permit Mempamerkan Iklan Pilihan Raya kepada parti-parti politik yang membuat permohonan melalui Jabatan Pelesenan MBJB.

“Untuk makluman, sejumlah RM5,000 wang amanah akan dikutip bagi setiap permohonan yang dibuat dan setiap pemegang permit hendaklah mematuhi syarat-syarat dan tatacara yang telah ditetapkan oleh MBJB.

“Jika iklan di tapak tidak dibuka atau berlakunya pelanggaran syarat, MBJB berhak untuk membuka iklan itu dan melucutkan hak pemulangan wang amanah kepada pemegang permit,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Penuh Bilangan 2 Tahun 2022 di Menara MBJB, di sini hari ini. 

PRN Johor ke-15 akan diadakan pada Mac ini dengan tarikh penamaan calon Jumaat ini dan hari mengundi awal 8 Mac dan hari mengundi ditetapkan 12 Mac. 

Noorazam berkata, maklumat terperinci berkenaan syarat-syarat permohonan itu boleh didapati menerusi kaunter Jabatan Pelesenan MBJB atau laman sesawang rasmi MBJB.

Katanya, borang permohonan yang telah lengkap diisi hendaklah dikemukakan sendiri oleh pemohon beserta dengan bayaran deposit bagi setiap permohonan dan permit akan dikeluarkan setelah bayaran deposit dijelaskan sepenuhnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya