KULAI: Parti-parti politik yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilarang menggunakan rumah ibadat seperti masjid dan surau untuk menjalankan aktiviti kempen politik masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, larangan itu dikeluarkan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan berkuat kuasa serta merta.
Menurut beliau, larangan itu bukan sahaja melibatkan kawasan dalaman premis berkenaan, tetapi pekarangan rumah ibadat tersebut.
“Kita sudah ambil ketetapan bahawa mana-mana pemimpin politik walaupun parti kerajaan memerintah adalah dilarang menggunakan masjid dan surau sama ada di bahagian dalam atau mana-mana kawasan.
“Larangan ini termasuk dengan penggunaan masjid dan surau untuk program bertujuan keagamaan,” katanya ketika mengulas kemungkinan rumah ibadat itu dijadikan lokasi oleh parti politik menjelang PRN Johor ini.
Terdahulu, beliau yang juga Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kulai mengiringi Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melawat perniagaan keropok lekor, di sini hari ini.
Tosrin bagaimanapun memberitahu, pemimpin dan parti politik boleh menghadirkan diri untuk menunaikan kewajipan agama.
“Tokoh-tokoh politik, calon bertanding atau mana-mana parti masih boleh menghadirkan diri ke masjid dan surau untuk bersolat atau menyertai bacaan Yasin, tetapi tanpa sebarang ceramah atau ucapan dibenarkan.
“Kita ada garis panduan, ketika solat Jumaat dan selepas Maghrib memang ada bacaan Yasin, jadi jika mereka turut serta bersolat dan baca Yasin, ini dibolehkan tetapi setakat itu sahaja,” ujarnya. – UTUSAN