PUTRAJAYA: Penganjuran ceramah, syarahan atau kempen secara fizikal dibenarkan sepanjang tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Perkara itu ditetapkan dalam prosedur operasi standard (SOP) Pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan PRN itu bermula selepas penamaan calon 26 Februari ini sehingga pukul 11.59 malam, 11 Mac.
Bagaimanapun, garis panduan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu hanya membenarkan aktiviti berkenaan diadakan di pejabat parti dan bilik gerakan parti yang rasmi dengan jumlah kehadiran tidak boleh melebihi 100 orang.
Berdasarkan SOP berkenaan, jumlah itu termasuk penganjur, urus setia, penceramah dan peserta dengan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya 1 meter antara satu sama lain dan memakai pelitup muka.
“Hanya individu lengkap vaksinasi Covid-19 dibenarkan hadir. Penganjur perlu menyediakan kaunter saringan kesihatan untuk menyemak bilangan kehadiran, status vaksinasi, saringan gejala seperti batuk, sakit tekak, selsema dan sesak nafas.
“Peserta bergejala tidak dibenarkan masuk. Semua yang hadir perlu mengimbas QR Kod MySejahtera atau mencatat kehadiran di dalam buku yang disediakan,” memetik SOP itu yang dikeluarkan malam tadi.
Kempen ziarah rumah ke rumah juga dibenarkan sepanjang tempoh pilihan raya dengan disertai tidak melebihi lima orang dan mematuhi penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter
antara satu sama lain serta pemakaian pelitup muka.
Bagaimanapun, tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah untuk berkempen atau berjumpa dengan ahli rumah.
Selain itu, sebarang aktiviti mengedarkan risalah hendaklah dibuat di luar pagar dengan sentiasa memastikan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter.
“Aktiviti secara walkabout sepanjang tempoh pilihan raya adalah dibenarkan dengan mematuhi SOP dan hanya boleh disertai lima peserta atau kurang.
“Calon dan/atau jentera pilihan raya juga dibenar mengedarkan risalah bagi tujuan berkempen di peti-peti surat penduduk sekitar dengan dihadkan tidak lebih dari tiga orang untuk aktiviti
pengedaran risalah, namun tidak boleh diedarkan kepada orang awam secara bersemuka sepanjang tempoh pilihan raya,” katanya. – UTUSAN