PRN Johor: Bayangan Muda, PKR tak capai kata sepakat

PRN Johor: Bayangan Muda, PKR tak capai kata sepakat

PRN JOhor
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberi bayangan rundingan kerjasama antara PKR dan partinya dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak mencapai kata sepakat setakat ini. 

Beliau berkata, selepas mengadakan beberapa siri rundingan rasmi bersama pimpinan parti berkenaan Muda membuat keputusan untuk mengumumkan senarai calonnya di 20 kerusi sekali gus menamatkan rundingan rasmi bersama Muda. 

Bagaimanapun, katanya, parti itu menyampaikan niat dan hasrat bagi mengelakkan sebarang pertindihan kerusi Muda-PKR kepada rakan DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah). 

“Kami juga bersedia untuk meneruskan rundingan bersama PKR. 

“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan dari pimpinan PKR berkaitan kerusi Muda-PKR, pimpinan Muda akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini. 

PKR Johor sebelum ini menawarkan tiga kerusi kepada parti tersebut untuk ditandingi pada pilihan raya 12 Mac itu nanti.

Amanah dan DAP sebelum ini memperuntukkan enam kerusi kepada parti berkenaan untuk bertanding di pilihan raya negeri itu selepas beberapa rundingan rasmi sekali gus berjaya mengelakkan pertindihan kerusi.

Enam kerusi itu diperuntukkan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Menurut Syed Saddiq, sekiranya pertindihan kerusi antara Muda-PKR tidak dapat dielakkan, Muda akan menyerahkan keputusan di tangan rakyat Johor. 

Katanya, partinya menyertai PRN Johor bertujuan untuk membawa perubahan yang baik kepada negeri itu dan Malaysia. 

“Negeri Johor harus dipimpin oleh kepimpinan yang mengangkat politik dasar sebagai teras untuk pembangunan ekonomi kepada rakyat Johor. 

“Muda telah memberikan usaha dan komitmen berterusan untuk mengelakkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti-parti pembangkang kerana fokus utama kami adalah membawa perubahan yang baik kepada Negeri Johor,” jelasnya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN