JOHOR BAHRU: PKR menegaskan tidak mempunyai masalah bekerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selepas kegagalan rundingan berhubung agihan kerusi yang berlaku melibatkan kedua-dua parti berkenaan, sebelum ini.
Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, hal itu kerana apa yang berlaku tidak menjejaskan fokus kedua-dua pihak untuk bekerjasama menentang Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN).
Pihaknya bagaimanapun berharap Muda akan memahami kepentingan parti blok pembangkang untuk bekerjasama dan tidak meletakkan calon di kerusi ditandingi PKR.
“Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ini, pembangkang perlu bekerjasama jadi walaupun tiada perkongsian kerusi antara PKR dan Muda, tetapi saya telah tegaskan keperluan kerjasama untuk capai kemenangan.
“Ini kerana musuh utama kita adalah UMNO, BN dan juga PN. Sesama mereka yang berada dalam kerajaan juga bergaduh, bahagian rakyat boleh hendak mempercayai mereka lagi,” soalnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran kemeja-T Tolak Korupsi yang diadakan di Bilik Gerakan Utama PKR Johor, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse.
Tambah Syed Ibrhaim, pihaknya bagaimanapun tidak dapat memberi jaminan bahawa tidak akan berlaku pertindihan kerusi antara PKR dan Muda dalam PRN tersebut.
“Soal pertindihan kerusi saya tidak dapat beri jaminan, kerana perkara itu terpulang kepada mereka (Muda). Tetapi saya harap kerjasama ini akan dihormati. Saya percaya dalam soal menolak korupsi dan salah guna kuasa, PKR dan Muda mempunyai pendirian yang sama dan jelas untuk menolaknya.
“Kita juga akan bekerja keras untuk memastikan kemenangan bukan sahaja calon PKR tetapi calon-calon yang bertanding mewakili Pakatan Harapan (PH),” ujarnya.
Baru-baru ini, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan rundingan agihan kerusi antara Muda dan PKR gagal apabila PKR bertindak mengumumkan akan bertanding di kesemua 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diperuntukkan kepada mereka melalui gabungan PH.
Rakan parti komponen PH pula iaitu Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP masing-masing bersetuju untuk menyerahkan kerusi kepada calon daripada Muda.UTUSAN