KOTA TINGGI: Kepentingan dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi agenda utama dalam Barisan Nasional (BN) di Kota Tinggi yang dipamerkan bukan sahaja ketika tiba Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bahkan sejak dari dulu lagi.
Menteri Perpaduan Negara merangkap Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, perjuangan BN di parlimen itu juga berasaskan prinsip walk the talk.
“Iklim PRN Johor kali ini pastinya berbeza dengan penampilan calon-calon dari pelbagai parti politik. Namun kami di Kota Tinggi sentiasa meletakkan kepentingan dan kebajikan rakyat sebagai agenda utama kami.
“Kami menjadikan prinsip walk The talk sebagai tunjang dalam perjuangan ini. UMNO bukanlah parti setahun jagung, sebaliknya merupakan sebuah parti yang banyak menabur bakti dan jasa terhadap nusa dan negara.
“UMNO ini mengakar, perjuangannya ada dalam diri rakyat dan perjuangannya bukan hanya untuk kemenangan parti politik tapi ia akan menjadi kemenangan buat rakyat Johor,” katanya selepas menghadiri perjumpaan bersama barisan kepimpinan UMNO Bahagian Kota Tinggi.
Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Tinggi, Muszaide Makmor, Ketua Wanita UMNO bahagian, Asiah Md. Ariff dan Ketua Pemuda UMNO bahagian itu, Johan Azam.
Halimah berkata, perjumpaan tersebut merupakan salah satu usaha bagi memperkukuhkan lagi gerak kerja dan jentera BN menjelang PRN Johor.
“UMNO akan terus menjadi kunci kestabilan negara, kestabilan demi kemakmuran. Demi rakyat, UMNO terus berkhidmat. Semoga ianya menjadi asbab untuk kita sama-sama mendapat rahmat dan keberkatan,” katanya. UTUSAN