KUDAT: Hasrat Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) menyertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mendapat maklum balas positif daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri itu berkata, penyertaan sebuah lagi parti dalam gabungan tersebut akan membantu menstabilkan lagi politik di negeri ini.
“Tujuan kita supaya ada satu kestabilan politik di Sabah supaya kita dapat memberi fokus kepada pembangunan negeri ini.
“Kita baharu sahaja diberi mandat untuk memerintah negeri Sabah dan kita ada lebih kurang empat tahun lagi.
“Maka, kita patut menumpukan kepada pembangunan ekonomi dan rakyat di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa kebakaran Kampung Landung Ayang, hari ini.
Beliau berkata demikian semasa diminta mengulas mengenai hasrat bekas Naib Presiden Parti Warisan (Warisan) Datuk Peter Anthony yang mahu membawa parti baharunya menyertai GRS.
Hajiji, yang juga Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berkata, biarpun beliau mengalu-alukan penyertaan parti di bawah pimpinan Peter itu namun, pandangan semua parti-parti dalam GRS akan turut diambil kira.
Justeru, apa juga keputusan diambil, beliau akan mengambil kira dukungan dan sokongan semua rakan-rakan parti dalam GRS.
Mengulas lanjut katanya, GRS juga akan didaftarkan sebagai sebuah gabungan parti rasmi seperti yang dimahukan oleh parti-parti dalam gabungan berkenaan.
Pendaftaran GRS itu juga akan memantapkan lagi kerjasama parti-parti yang mendukung kerajaan negeri sekarang ini.
Sebelum ini, Peter menyatakan hasrat untuk memohon menyertai GRS sebaik sahaja gabungan terebut didaftarkan sebagai gabungan politik yang rasmi. UTUSAN