ALOR SETAR: Seorang pengarah sebuah syarikat ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana disyaki memberi suapan berjumlah RM2 juta kepada pegawai dan kakitangan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 2016 dan 2017.
Sumber memberitahu, rasuah tersebut dipercayai diberikan pegawai KTMB berusia 63 tahun itu kepada pegawai dan kakitangan terlibat bagi membantu syarikatnya mendapatkan kerja-kerja pembinaan jalan kereta api dan pembangunan pelabuhan di Songkhla, Thailand.
“Penahanan lelaki itu dibuat di Pejabat SPRM Kuala Lumpur kira-kira pukul 3.10 petang tadi. Permohonan reman akan dibuat di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur esok,” katanya di sini hari ini.
Sumber menambah, SPRM masih menyiasat jumlah individu yang menerima rasuah tersebut.
Menurutnya, setakat ini, SPRM telah menggeledah pejabat dan rumah suspek.
“Dalam masa sama, usaha kini giat dijalankan bagi mengesan saksi-saksi terlibat. Percakapan suspek turut dirakam bagi mendapatkan maklumat awal berkaitan saksi-saksi terlibat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan tangkapan namun enggan mengulas lanjut.
Katanya, kes tersebut sehingga kini masih disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009. – UTUSAN