SHAH ALAM: Kira-kira 1,000 penerima Bantuan Selangor Bangkit (BSB) dan Bantuan Wang Ihsan (BWI) Kerajaan Pusat menyerbu Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) Kemuning Seksyen 32 sejak tengah hari tadi.
Menurut seorang penduduk dari Seksyen 29 Kampung Lombong, Faizal Abdul Halim,41, beliau terpaksa berdiri dua jam menunggu giliran disebabkan penerima datang serentak sebelum pukul 3 petang.
“Saya sampai kira-kira pukul 3 lebih dan mendapati orang sudah ramai di depan pagar.
“Setelah berdiri dua jam dalam barisan hampir 100 meter saya berjaya menyelesaikan segala urusan hari ini,” katanya ketika ditemui di luar dewan tersebut.
Sementara itu, seorang penduduk dari Kampung Jawa di sini, Norhafizah Shaari,47, bersyukur dengan bantuan RM2,000 itu walaupun terpaksa bersesak dan beratur lebih 50 meter.
Katanya lagi, walaupun terlewat sampai pada pukul 5 petang, orang semakin ramai disebabkan ramai penerima yang baru pulang dari tempat kerja.
“Semasa banjir besar baru-baru ini saya dan keluarga sedang kuarantin akibat dijangkiti Covid-19.
“Hari ini walaupun terpaksa bersesak saya bersyukur sekurang-kurangnya bantuan RM2,000 dapat mengurangkan kerugian yang ditanggung,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Faizal Abdul Raji berkata, pihaknya menetapkan waktu untuk penerima kedua bantuan bermula pukul 3 petang hingga 8.30 malam.
Mengulas mengenai kesesakan di Dewan MBSA Kemuning beliau berkata, pihaknya menetapkan golongan yang tidak bekerja dan suri rumah boleh datang sebelah petang.
“Bagi golongan bekerja kita menetapkan untuk penerima datang selepas pukul 5 petang namun ramai memilih untuk datang serentak sehingga berlaku kesesakan. Seramai 3,000 orang menerima bantuan di Dewan MBSA Kemuning tersebut,” katanya.
Beliau menambah, seramai 10,000 orang menerima bantuan di Seksyen 32, Kapar dan Pandamaran hari ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan kerajaan menyasar sehingga akhir bulan ini bagi menyelesaikan penyerahan bantuan kepada mangsa banjir pada Disember lalu seperti BWI dan BSB.- UTUSAN