KOTA KINABALU: Pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti pada sidang Dewan Rakyat bermula 28 Februari ini selaras dengan semangat memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH).
Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata, pembentangan RUU itu tepat pada masanya kerana ia tidak wajar ditangguh dan dilewatkan kerana rakyat di peringkat akar umbi mahukan perubahan yang ketara dalam landskap politik negara.
Menurut beliau, pengumuman Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr .Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengenai perkara itu secara tidak langsung menafikan pandangan sesetengah pihak bahawa RUU tersebut tidak akan dibentangkan dan tidak akan menjadi kenyataan kerana Kerajaan Persekutuan tidak serius dan MoU yang dimeterai bersama PH tidak bernilai dan tidak bertaring.
Beliau berkata, undang-undang itu mampu mengekang wakil rakyat daripada bertindak melompat parti, sekali gus mempertahankan integriti wakil rakyat yang telah dipilih oleh rakyat.
“Kenyataan Wan Junaidi semalam selaras dengan pendirian yang diketengahkan oleh PH dalam pertemuan bersamanya.
“PH menegaskan agar RUU ini perlu dibawa ke Parlimen mengikut garis masa yang telah dipersetujui dan ditetapkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kenyataannya, Wan Junaidi berkata, keputusan itu selaras dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu pindaan RUU berkenaan disegerakan dan dibentangkan pada mesyuarat pertama penggal kelima Parlimen ke-14 tahun ini.
Langkah itu menunjukkan kepimpinan Perdana Menteri menunaikan janji beliau dan pendirian PH.
“Sekiranya masih ada perkara yang belum jelas, saya percaya kita masih ada masa untuk melakukan penambahbaikan.
“Apa yang penting RUU ini harus dan perlu dibawa ke sesi Parlimen akan datang. Saya berharap kerajaan-kerajaan negeri akan mengambil langkah yang sama untuk meminda undang-undang mahupun Perlembagaan Negeri masing-masing,” katanya. – UTUSAN