PETALING JAYA: Kerajaan perlu mewujudkan badan kawal selia bagi menjaga kebajikan penghantar makanan dan barang p-hailing yang terlibat dalam memacu gig ekonomi di negara ini.
Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, isu kebajikan penghantar makanan perlu diangkat berbanding isu lambakan penghantar makanan kerana masih terdapat penindasan dan tiada pengiktirafan terhadap kumpulan tersebut.
“Isunya bukan soal lambakan penghantar makanan tetapi tentang kebajikan dan itu adalah apa yang kami perjuangkan. Perlu ada badan kawal selia untuk perkara ini, bertepatan seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mewujudkan satu ekosistem.
“Untuk menampakkan evolusi terhadap masa hadapan, soal kebajikan dan perlindungan perlu diperhalusi serta diselesaikan oleh kerajaan. Seperti masalah tiada harga lantai jadi pihak syarikat melakukan ikut suka hati mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.
Beliau mengulas keluhan pekerja penghantar barangan dan makanan membabitkan syarikat p-hailing yang mendakwa pendapatan serta insentif mereka dipotong hampir 40 peratus tanpa alasan selain berlaku lambakan rider yang menyertai perkhidmatan tersebut.
Zulhelmi turut mendedahkan terdapat penindasan menerusi peta digital iaitu jarak sebenar dan jarak di dalam sistem tidak sama menyebabkan pekerja p-hailing dimanipulasi serta dibayar dengan nilai tidak sewajarnya.
“Bagi mengatasi isu-isu ini, badan kawal selia perlu ada dengan pelibatan agensi-agensi berkaitan, wakil syarikat dan juga penghantar makanan. Kita kena bercakap bagaimana untuk buat pekerja p-hailing sebagai kumpulan yang kompeten serta professional,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang penghantar daripada Food Panda yang ingin dikenali sebagai Khairul berkata, lambakan kumpulan tersebut sudah semakin kurang kerana selepas pembukaan semula industri seperti sediakala ramai daripada mereka menjadikan p-hailing sebagai pekerjaan separuh masa sahaja.- UTUSAN










