KUCHING: Tiga pendatang tanpa izin (PATI) diusir dan tujuh yang lain ditahan dalam dua siri sebuan Op Benteng oleh pasukan Angkatan Tentera Darat Malaysia di sekitar kawasan sempadan negara di Lubok Antu, Sri Aman.
Menurut kenyataan akhbar Markas Divisyen Pertama Infantri Malaysia, tangkapan pertama dilakukan pada 21 Februari, jam 9.55 malam ketika anggota yang sedang melaksanakan penugasan Serkap bersama berjaya mengesan kehadiran tiga individu di ladang kelapa sawit di kawasan sektor Pos Gabungan Bersama (GABMA) Malaysia dan Indonesia di Lubok Antu, Sri Aman.
“Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada tiga lelaki warganegara Indonesia berusia sekitar 21 hingga 30 tahun itu tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.,” menurut kenyataan itu.
Bagaimanapun, katanya tiada barang terlarang yang dijumpai dan tujuan mereka masuk ke Malaysia adalah untuk mencari pekerjaan.
Kesemua mereka diusir keluar selepas laporan polis dibuat di Balai Polis Lubok Antu.
Sementara itu, katanya pada 22 Februari, jam 12.30 pagi, anggota kumpulan lain yang turut melaksanakan penugasan Serkap di kawasan Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Lubok Antu, Sri Aman telah menahan sebuah kenderaan yang mencurigakan.
Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati kenderaan tersebut yang dipandu oleh seorang lelaki warga tempatan dipercayai sebagai tekong membawa enam individu terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita warga Indonesia berusia sekitar 30 hingga 55 tahun.
Katanya, laporan polis telah dibuat di Balai Polis Lubok Antu dan kesemua yang ditahan bersama barang rampasan telah diserahkan kepada pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk siasatan dan tindakan lanjut.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM 53,851.90 melibatkan sebuah kenderaan, lima buah telefon bimbit berserta wang tunai,” katanya.
Pasukan keselamatan terus kekal bersiap siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara, terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku yang berisiko menyumbang kepada penularan wabak Covid-19. UTUSAN