Muda patut bertanding solo, uji kekuatan parti - Muhyiddin - Utusan Malaysia

Muda patut bertanding solo, uji kekuatan parti – Muhyiddin

MUHYIDDIN Yassin (tengah) ketika menyertai program santai bersama wakil-wakil NGO di Bandar Baru Uda, Johor Bahru menjelang Pilihan Raya Negeri Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) tidak seharusnya bergantung kepada kekuatan parti politik lain sebaliknya perlu bertanding secara bersendirian dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah sewajarnya untuk bertanding secara solo adalah bagi menguji kekuatan dan kemampuan mereka dalam kancah politik tempatan.

“Saya bukan penasihat undang-undang Muda, tetapi sewajarnya bila sudah tubuhkan parti politik baharu biarlah bertanding sendirian, boleh uji kekuatan jadi mengapa mahu berunding dengan orang lain.

“Di Johor ada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), mereka boleh pilih kerusi mana yang sesuai dan dirasakan ada peluang, lepas tu bertandinglah. Nak uji kekuatan kena bertanding sendiri, jangan gabung dengan orang lain tetapi itu pandangan sayalah, tapi dia ada pandangan lain, itu hak dia,” katanya selepas menghadiri program santai bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Bandar Baru Uda, hari ini.

Muhyiddin diminta mengulas berhubung kerjasama politik antara Muda dan DAP serta Parti Amanah Negara (Amanah) dalam PRN Johor. Terbaharu, Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu perbincangan antara pihaknya dengan PKR gagal mencapai kata sepakat.

Dalam pada itu, ketika menjawab pertanyaan seorang ahli NGO pada program itu, Muhyiddin berkata, kelayakan akademik bukan faktor utama yang melayakkan seseorang individu dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) kerana terdapat kriteria lain yang perlu dipertimbang termasuk pengalaman dan kemahiran.

“Ada kes di mana calon ada kelayakan akademik sampai peringkat universiti dan sebagainya, tetapi ada juga calon miliki pengalaman dan rekod kedudukan serta jawatan. Jadi kita ambil kira semuanya. Tetapi walau apapun, kelayakan akademik memang antara salah satu syarat yang dipertimbang tapi bukan satu-satunya,” katanya.

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut memaklumkan PN akan memuktamadkan senarai nama calon yang bakal bertanding dalam PRN Johor, hari ini dan menegaskan gabungan itu tidak berhadapan masalah untuk bekerjasama kerana hanya melibatkan tiga parti sahaja untuk berbincang.

Sementara itu, Muhyiddin turut berjanji menjadikan ekonomi Johor yang utama dalam negara sekiranya gabungan itu dipilih menjadi kerajaan negeri kelak bersandarkan pengalaman dan pengetahuan dimiliki beliau dan kepimpinan PN lain yang telah mentadbir kerajaan dengan baik dalam tempoh pandemik Covid-19.

“Saya tidak mahu angkat bakul sendiri, tetapi kerana tiada yang angkat saya terpaksa lakukan. Jika PN diberi mandat jadi kerajaan negeri, saya janji untuk bantu Johor. Sebagai orang Johor, sebagai bekas Menteri Besar negeri ini, saya tahu apa yang perlu dilakukan, bagaimana untuk melakukan perkara itu dan siapa yang akan terlibat.

“Saya boleh beri nasihat untuk mewujudkan pelan ekonomi bagi tempoh lima tahun dalam pelbagai sektor, perniagaan, pelancongan, pertanian, perindustrian dan pelbagai lagi. Kerajaan PN tidak akan korup, ini kerana semua calon perlu berjanji dan bersumpah untuk tidak akan melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya