LABIS: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) hari ini mengumumkan tiga lagi calon mereka yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.
Parti itu memperkenalkan Lim Wei Jit, 31, yang juga Ahli Jawatankuasa Pusat Muda bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.
Bagi kerusi DUN Bukit Kepong , Nurafiqah M.Zulkifli, 31, yang juga jawatankuasa Pusat Muda dan Azrul Rahani, 41, Pengerusi Muda Johor pula dipilih sebagai calon bagi kerusi DUN Bukit Permai.
Kesemua calon berkenaan diumumkan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam suatu majlis di sebuah kafe di Labis, Segamat di sini hari ini.
Muda sebelum ini mengumumkan calon bagi parti itu yang akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.
Pencalonan ketiga-tiga pimpinan Muda dalam pilihan raya ini adalah selaras dengan usaha parti menampilkan pimpinan yang muda, aktif di dalam politik khidmat serta sentiasa fokus dalam merangka dasar yang adil dan saksama untuk negeri ini.
Menurut Syed Saddiq, calon-calon Muda yang lain akan diumumkan dalam masa yang terdekat. – UTUSAN